Friday, October 3, 2014

Keperluan untuk mendidik masyarakat mengenai Takaful - Utusan

Oleh Zafri Ab. Halim

Sejak skim Takaful diperkenalkan pada tahun 1984, ia telah melalui suatu proses pertumbuhan yang menggalakkan dari sudut penawaran produk dan operasi pengendalian Takaful. Walau bagaimanapun, penyertaan masyarakat terutamanya masyarakat Melayu masih di tahap yang mendukacitakan. Walaupun pelbagai inisiatif telah dijalankan oleh pihak-pihak yang berkenaan namun ia tidak dapat menyedarkan hati majoriti masyarakat Melayu. Kadar penembusan Takaful hanyalah sebanyak 13 peratus pada Jun 2013 seperti yang dilaporkan Persatuan Takaful Malaysia ketika '4th Annual World Takaful Conference'. Ini bermakna bagi setiap 100 orang hanya 13 orang mempunyai perlindungan Takaful.

Antara alasan utama yang dibentangkan adalah kekurangan wang disebabkan faktor kos sara hidup yang semakin meningkat. Dari satu sudut, kita perlu bersetuju dengan alasan tersebut kerana masih ramai masyarakat kita dikategorikan sebagai golongan yang berpendapatan rendah. Namun, melihat kepada kepentingan Takaful dan kehidupan yang semakin berisiko pada masa kini, semua pihak perlu bertanggungjawab dalam memastikan kemaslahatan golongan ini terpelihara.

Apa yang menyedihkan, ramai daripada golongan yang berkemampuan masih berdolak-dalik untuk tidak menyertai Takaful atas alasan ia bukan satu keperluan kepada mereka. Mereka lebih gemar menghabiskan wang ke arah perkara-perkara yang memberi manfaat jangka pendek seperti kereta mewah, gajet elektronik dan sebagainya. Walaupun tidak salah tetapi manfaatnya hanya seketika kerana ia hanya berguna untuk tujuan kesenangan tetapi tidak dapat membantu diri kita dan keluarga sekiranya sesuatu musibah berlaku.

Seperti yang diketahui, Takaful merupakan satu skim perlindungan bagi membantu seseorang sekiranya ditimpa musibah seperti kematian, kecacatan kekal dan penyakit kritikal. Sekiranya berlaku perkara-perkara tersebut, pengendali Takaful mewakili semua peserta akan membayar sejumlah wang kepada orang yang ditimpa musibah mengikut perjanjian yang telah dipersetujui bersama. Memandangkan perjalanan kehidupan yang sukar diramal, maka setiap individu seharusnya mempunyai perlindungan Takaful dalam memastikan diri mereka dan keluarga sentiasa dilindungi.

Kos rawatan bukanlah sesuatu yang sering kita fikir. Namun yang dilaporkan oleh akhbar The Star pada 6 Mac 2014 yang lalu, kos perubatan telah meningkat sebanyak 14.4 peratus. Maka apakah persediaan kita untuk menghadapi kemelut kewangan sekiranya kita ditakdirkan mengalami penyakit-penyakit kritikal?

Sebahagian besar daripada masyarakat kita sedar bahawa Takaful dapat meringankan beban mereka pada masa akan datang, tetapi kerana sikap endah tidak endah terhadap kepentingan Takaful menyebabkan ia dipinggirkan dan tidak menjadi keutamaan. Bayangkan jika perkara buruk ini menimpa diri kita, apa yang kita tinggalkan untuk keluarga tersayang? Sikap ini akan menyebabkan mereka menyesal di kemudian hari dan terpinga-pinga mencari penyelesaian apabila senario-senario yang disebutkan tadi berlaku secara tiba-tiba terhadap diri mereka. Berkorbanlah sedikit demi mendapatkan manfaat yang berterusan seperti kata pepatah Melayu 'menyesal dahulu pendapatan, menyesal kemudian tidak berguna'.

Dalam pada itu juga, pihak-pihak yang berkaitan perlu memainkan peranan yang lebih efektif dan proaktif dalam memastikan lebih ramai masyarakat Melayu memiliki sijil Takaful. Pengendali Takaful perlu menyediakan produk-produk mampu milik untuk golongan yang berpendapatan rendah bagi membolehkan mereka menyertai Takaful dengan mudah. Anggaplah ia satu kebajikan dan sumbangan kepada masyarakat dalam usaha memartabatkan industri Takaful khususnya kepada umat Islam. Dengan ini tanggapan negatif terhadap kewangan Islam khususnya Takaful dapat dikikis daripada minda sesetengah masyarakat.

Pengendali Takaful juga diharapkan dapat memberi penerangan kepada umum mengenai kepentingan Takaful dengan menganjurkan seminar-seminar atau menjalankan usaha sama dengan organisasi-organisasi tertentu bagi memudahkan penyaluran maklumat kepada masyarakat berkenaan Takaful. Inisiatif ini perlu dilakukan secara berterusan dan tidak hanya tertumpu kepada kawasan bandar sahaja, malah ia perlu diperluaskan kepada masyarakat di luar bandar supaya kemaslahatan mereka tidak terabai.

Umum mengetahui bahawa Takaful dipromosikan oleh ejen-ejen yang dilantik secara sah oleh pengendali Takaful. Malangnya sebahagian daripada mereka hanya menumpukan elemen perniagaan dalam mendapatkan peserta dengan meminggirkan penerangan mengenai kepentingan Takaful. Perlakuan seperti ini perlu diubah supaya masyarakat lebih memahami dan menghargai keindahan sistem Takaful yang mementingkan nilai saling bantu-membantu seperti yang dianjurkan oleh Islam. Dengan adanya ejen yang proaktif dan prihatin, masyarakat akan mendapat pendedahan yang menyeluruh mengenai kepentingan Takaful dalam kehidupan mereka.

Apa yang diharapkan, suatu hari nanti setiap umat Islam khususnya di Malaysia mempunyai kesedaran mengenai kepentingan Takaful supaya diri dan keluarga mereka sentiasa dilindungi ketika ditimpa musibah atau kesusahan.

Penulis adalah Ketua Pegawai Eksekutif Great Eastern Takaful


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Ekonomi/20141003/ek_06/Keperluan-untuk-mendidik-masyarakat-mengenai-Takaful#ixzz3F42ypAar
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment